Jom Follow!!!

Sunday, October 23, 2011

HIMPUN : Satu Ulasan~


Agak janggal sebenarnya kerana telah sekian lama tidak menulis tentang isu semasa. Namun tidak menulis atau mengulas, bukan bermakna tidak mengambil tahu.

Zaman ini, jika benar-benar mahu tahu, penentunya hanya di hujung jari.

Hari ini, sebahagian umat Islam berkumpul atas nama HIMPUN. Wasilah atau alternatif untuk menyatakan sokongan dan akidah umat Islam. Ada beberapa solusi yang telah sedia digariskan, di mana anda boleh ketik mana-mana laman akhbar untuk membaca mengenainya.

Banyak persoalan yang timbul tentang HIMPUN, begitu juga dengan pelbagai spekulasi ke atasnya. Namun ia tidaklah sehebat BERSIH 2.0. Realitinya, aksi HIMPUN jauh lebih longlai berbanding BERSIH. Sejuta yang diharapkan, hanya 9 peratus sahaja yang hadir.

AKIDAH ISLAMIAH

Setelah melakukan sedikit analisis, saya kira tidak ada mana-mana individu mahupun pihak-pihak tertentu yang membangkang, menolak atau tidak bersetuju bahawa akidah Islamiah adalah suatu perkara agung yang wajib dipertahankan.

Tiada orang pun sanggup membiarkan maruah Islam dipijak, umat Islam dimurtadkan secara berleluasa dan agama Islam diperlekehkan. Isu akidah adalah isu yang sangat sensitif di mana umat Islam pasti dan pasti sedia mati untuk mempertahankannya.

Di titik tersebut, kelihatannya tidak ada masalah.

WASILAH

Bertitik tolak dari situ, timbul di sana ‘ijtihad’ sebahagian pihak untuk berhimpun. Simboliknya, berhimpun itu untuk menunjukkan kepekaan, kesediaan dan konsisten ummat mempertahankan akidah.

Apa sekalipun nama perhimpunan tersebut, dari segi tujuan dan matlamatnya kita tidak melihat apa-apa yang janggal.

Kalau diperhatikan, penganjur perhimpunan tersebut semestinya mahukan kehadiran seramai yang mungkin bagi menjayakan agenda yang ditetapkan. Penganjur pastinya berpendapat, kehadiran yang ramai -lebih-lebih lagi jika melebihi target- adalah petanda penting berjaya atau tidak perhimpunan tersebut.

YA ATAU TIDAK

Namun dalam kehidupan, tidak semua orang akan bersetuju dan tidak semua orang akan tidak bersetuju. Apatah lagi pada perkara-perkara yang berbentuk ‘ijtihad’ sebahagian orang sahaja. Sebagai contoh ; pihak A berpendapat dengan memanggil seluruh ummat Islam berhimpun di stadium, ia mampu memberikan kesan positif kepada keutuhan akidah ummat Islam. Namun pihak B mungkin berpendapat, berhimpun sahaja tidak selesai masalah.

Bahkan pihak B mungkin saja berpandangan ada langkah-langkah lain yang lebih utama untuk dibuat, daripada berhimpun dengan hanya berpentaskan semangat.

Maka ‘ya’ atau ‘tidak’ adalah suatu yang sangat normal. Yang bersetuju dengan A akan datang beramai-ramai. Manakala yang bersetuju dengan B tidak akan datang.

SOKONG ATAU TIDAK ?

Datang berhimpun, bukan satu-satunya petanda bahawa kita benar-benar pejuang akidah Islam di Malaysia. Begitu juga kita tidak boleh dengan mudahnya mengatakan, orang yang tidak datang berhimpun itu tidak berjuang mempertahankan akidah Islam di Malaysia.

Menyokong perkara yang pokok, iaitu Akidah tetapi berbeza pandangan tentang cara mempertahankan Akidah, pada saya itu bukanlah suatu masalah besar. Bahkan sewajarnya kita menghormati perbezaan pendapat tersebut dengan penuh rasa ukhuwwah.

ANASIR

Kita dapat melihat, hasil pemerhatian dan analisis, bahawa di sana ada beberapa isu yang boleh mencetuskan perbezaan pandangan dalam isu HIMPUN.


Pertama tentunya tentang betapa mudahnya untuk berhimpun. Jika dahulu, rakyat yang mendokong kebebasan bersuara mahu berhimpun atas nama BERSIH, mereka ditekan dari segenap penjuru. Namun hari ini, kita tidak melihat keadaan tersebut. Tentunya, semua itu berlaku dengan ada sebab.


Kedua, slogan melayu. Isu perkauman yang dikembarkan dengan akidah nyata tidak sesuai dan mengundang sensitiviti meskipun sesama ummat Islam. Apabila sebahagian pihak mahu mengajak supaya bersatu atas nama kaum, ia secara tidak langsung mengenepikan kesatuan atas nama akidah. Saya secara peribadi menghormati pendirian pihak tersebut mahupun ijtihad mereka. Cuma, secara bacaan politik, nyata ia telah merugikan sokongan sebahagian besar ummat Islam di Malaysia.

Ketiga, cuba perhatikan sesetengah pihak yang seringkali kelihatan mahu menjadi ‘juara’ dalam isu agama. Kononnya merekalah pejuang sebenar Islam di Malaysia. Isu kalimah Allah, isu gereja dan banyak lagi isu yang lain, mereka semahu mungkin mahu menjadi hero. Tetapi janggalnya, apabila dalam isu menegakkan syariat dan undang-undang Allah, mereka membisu dan menghilang. Ini tentu sekali mengundang kepelikan besar kepada kita, di mana mungkin sahaja mereka-mereka ini mempunyai agenda tersembunyi. Kita bimbang mereka adalah sebagaimana kata-kata Saidina Ali k.w : ” Kalimatul haq yuradu bihil bathil ” bermaksud ‘ perkara yang dilaung-laungkan itu betul, tetapi apa yang mereka mahukan (agenda mereka) hanya kebatilan ‘.

Keempat, sepertimana saya pernah menulis bahawa BERSIH bukan isu 9 Julai, maka saya juga berharap HIMPUN bukan hanya isu 22 Oktober. Jika berhimpun itu mahu dianggap sebagai pencetus, itu bagus. Tetapi biarlah selepas ini benar-benar ada kesinambungan daripada perhimpunan tersebut dari segenap segi ; akidah,undang-undang,syariat,gejala sosial,isu-isu rasuah dan pelbagai lagi gejala buruk melibatkan ummat Islam. Kita tidak mahu Islam dilihat atas nama semangat semata-mata.

MUHASABAH

Non Muslim adalah rakan kita di Malaysia. Mereka adalah sasaran dakwah kita. Tidak salah kita menunjukkan ketegasan ke atas mereka, tetapi usaha memperkenalkan mereka dengan Islam yang sebenar biarlah bergerak selari dan seiring.

Kita sedih apabila dalam politik boleh berkawan dengan non muslim, namun pengetahuan dan maklumat mereka tentang apa itu Islam langsung tidak bertambah. Apatah lagi untuk menjadikan mereka tertarik dengan agama Islam. Soalnya, sejauh mana usaha menambat hati mereka kepada Islam dilaksanakan oleh semua pihak?

Hudud misalnya. Ia hukum Allah yang tidak boleh dipertikai. Namun jika kalangan umat Islam sendiri ‘menolak’ dan ‘jahil’ mengenainya, bagaimana mungkin kita mahu berharap supaya non muslim boleh faham dan menerimanya? Kerana itu, apa yang kita lihat hanyalah pelbagai musibah daripada salah faham terhadap agama.

Akhir kata, jika dengan undang-undang Allah kita buat tidak hirau, mengapa apabila agama lain mahu menapak kita bermati-matian mahu ‘membunuh’ mereka ?

Sekian~
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright •.¸❤SuBuHmEnJeLma•.¸❤ 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .